Ahad, April 12, 2009

NOTA 3 GEOFIZIK : PENGGURUNAN

: Fenomena Penggurunan (Desertification)

“Penggurunan” merujuk kepada pembesaran saiz gurun yang sedia ada hingga melampaui kawasan pinggirnya, atau proses yang menukarkan sesuatu kawasan yang sebelum ini bukan gurun kepada ciri-ciri gurun yang tandus dan gersang. Kawasan pinggir gurun (Sub gurun) pada asalnya merupakan kawasan yang lembab,subur dan banyak tumbuhan berbanding dengan kawasan gurun sebenar. Kawasan marginal ini seterusnya berubah memiliki ciri-ciri gurun akibat kerakusan aktiviti manusia. Akhirnya kawasan-kawasan sub gurun berkenaan bercantum dengan kawasan gurun asal atau dengan lain perkataan kawasan gurun asal membesar dan semakin luas.
Lebih 1/3 daripada permukaan bumi diancam oleh proses penggurunan, iaitu proses untuk menjadi gurun. Sebagai contoh yang baik ialah “Gurun Sahel”. Sahel pada asalnya ialah satu kawasan sub gurun yang terletak di selatan gurun Sahara di Afrika Utara. Sebelum penggurunan berlaku Sahel merupakan sebuah padang rumput savana yang subur, tetapi sejak 20 tahun yang lalu kawasan ini telah bertukar menjadi gurun dan bercantum dengan gurun Sahara. Ia kehilangan banyak tumbuhan, kehilangan air dan tanih seterusnya menjadi gersang akibat aktiviti manusia yang keterlaluan di kawasan tersebut seperti penyahutanan, ragutan berlebihan,pertanian yang terlalu intensif sehingga proses pemuliharaan tidak sempat dilakukan. Sebenarnya pertumbuhan penduduk yang pesat telah memaksa manusia di kawasan tersebut menggunakan sumber dan persekitarannya melebihi keupayaan untuk menampungnya. Selain daripada Afrika, gurun-gurun di India dan China turut sama mengalami pembesaran hasil teknologi petani yang mundur oleh penduduk primitif di kawasan berkenaan yang menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan secara berpindah randah.
Walaupun proses penggurunan berlaku kerana faktor fizikal tetapi pengaruh dan tindakan manusia telah mempercepatkan lagi fenomena ini. Ada dua cara bagaimana aktiviti manusia menggurunkan sesuatu kawasan. Pertama, melalui kegiatan pindah ternak dan ragutan berlebihan. Padang rumput savana yang subur di musim hujan akan diragut oleh ternakan hingga ke akar umbinya (Over Grassing). Kesannya struktur tanah menjadi longgar. Pada musim kering pula ternakan-ternakan ini dipindahkan ke kawasan padang ragut yang lain yang lebih subur. Aktiviti pindah ternak mempercepatkan lagi hakisan tanah yang sudah longgar itu dan akhirnya pelindung tanah (rumput) terhapus sama sekali. Hakisan angin akan mengambil alih, menerbangkan debu-debu lalu meninggalkan kawasan yang tandus-gersang. Kedua, aktiviti penyahutanan oleh penduduk asli di kawasan pinggir gurun untuk membina petempatan dan pembukaan kawasan pertanian baru guna menampung penduduk yang semakin bertambah. Sebagai contoh di Somalia dan Zaire. Tanah-tanah yang dahulunya tidak sesuai untuk pertanian telah dibuka dan dieksploitasikan tanpa kawalan. Apabila tiba musim kemarau kawasan tanah ini akan terdedah kepada hakisan angin. Angin akan menghakis-angkut lapisan atas tanih yang subur lalu meninggalkan lapisan yang tidak subur. Apabila tanah hilang kesuburan petani akan meninggalkannya lalu membuka kawasan hutan yang baru. Akhirnya proses yang sama berulang dan penggurunan semakin pesat.

RAMALAN GEO U2 2023 SIRI 4