Apabila mineral bebas berkembang atau tumbuh tanpa sebarang gangguan, mereka akan membentuk muka-muka hablur yang memiliki sifat tersendiri (Foto 1, 2 dan 4). Ia mempamerkan perbezaan tertentu di antara satu mineral dengan lain. Hablur dibatasi oleh bentuk semulajadi satah yang menggambarkan penyusunan atom (Foto 3, 8 dan 9). Hablur boleh dikumpulkan ke dalam tujuh system hablur, iaitu kiub, tetragonal, ortorombik, monoklinik, triklinik, heksagonal dan trigonal. Ia boleh mempamerkan perbezaan rupabentuk yang nyata bergantung kepada bentuk hablur atau paduan atau kombinasi dari bentuk.
Kebanyakan mineral wujud sebagai agregat hablur yang jarang mempamerkan bentuk hablur yang sempurna. Walau bagaimanapun, bentuk agregat amat berguna dalam proses mengenalinya. Kadang-kadang hablur tumbuh secara berpusat dari tengah berbentuk bulat atau nodul (Foto 5, 7 dan 10). Ia membentuk gugusan sebagaimana kelompok buah anggur yang dikenali sebagai botroidal (Foto 6). Sifat-sifat fizikal amat berguna dalam pengenalan mineral termasuk ketumpatan, kekerasan, ira dan gaya pecahan.
Mineral sering diklasifikasi berasaskan kepada kandungan kimia dikategori ke dalam oksida, sulfida, silikat, karbonat, posfat dan sebagainya. Huraian dan pengenalan mineral yang lebih terperinci memerlukan teknik-teknik tertentu seperti analisa kimia dan pengukuran sifat fizikalnya. Mineral boleh diberikan nama berdasarkan kepada aspek sifat fizikal atau kimia, tempat dijumpai, orang kenamaan, ahli mineralogi atau pelbagai subjek lain. Sebahagian contoh nama mineral dan keterangannya seperti berikut :-
Albit (NaAlSi3O8) dari bahasa Latin, albus (putih), berasas kepada sifat fizikal (warna).
Sarabauit (CaSb10O10S6) mengikut nama tempat, Bau, Sarawak, sebagai bahan sampingan bijih antimoni.
Malayait (CaSnSiO5) berasaskan penumuan pertama di Malaysia.
Foto 1 : Bijih timah kasiterit (SnO2), berwarna kelabu gelap dengan tabiat hablur pyramid dari Lembah Kinta, Perak
Foto 2 : Hablur kuarza (SiO2) mempamerkan permukaan bersegi-enam dari Chenderiang, Perak.
Foto 3 : Bijih timah masif (kasiterit, SnO2) di dalam skarn dari Sg. Besi, Selangor.
Foto 4 : Bijih antimony (stibnite, Sb2O3 menunjukkan gaya hablur prismatik dari Bau, Sarawak.
Foto 5 : Bijih aluminium (bauksit, Al2O3.2H2O) berwarna kelabu kekuningan dari Teluk Ramunia, Johor.
Foto 6 : Hematit, Fe2O3 berbentuk botroidal @ bergugus sebagai bijih besi terpenting dari Chini, Pahang.
Foto 7 : Bentuk berjejarum diaspor AlO(OH) dari Lembah Kinta, Perak.
Foto 8 : Butiran emas (Au) bertaburan di dalam kuarza dari Raub, Pahang.
Foto 9 : Fluorit CaF2 berwarna hijau muda dari Keramat Pulai, Perak.
Foto 10 : Kumpulan hablur berjejari turmalin dari Chenderiang, Perak.
Batuan
Bumi, bulan dan planet-planet terbentuk dari bahan yang dikenali sebagai batuan. Batuan adalah paduan antara pelbagai mineral dan boleh dikategorikan kepada batuan igneus, metamorf dan sedimen. Batuan igneus terbentuk dari pengerasan bahan batuan cair.; batuan metamorf pula wujud dari ubahan batuan igneus dan sedimen yang ditindak oleh suhu dan tekanan dan batuan sedimen terhasil dari pengumpulan sisa-sisa batuan dipermukaan bumi.
Batuan igneus : Kebanyakan batuan igneus terhasil di dalam bahagian atas sarung bumi. Bahan tersebut dinamakan magma yang bergerak naik ke dalam kerak bumi dan membentuk jasad batuan dikenali sebagai rejahan igneus. Jika magma sampai ke permukaan bumi dan mengalir, ia dikenali sebagai lava dikategorikan sebagai batuan gunung berapi (volkanik). Secara umumnya, batuan volkanik berwarna hitam dan tumpat dikenali sebagai basalt. Walau bagaimanapun, batuan granit mendominasikan batuan intrusif. Kaedah pengenalan dan menamakan batuan igneus merangkumi pengamatan saiz butiran dan penganggaran amaun relatif kandungan mineral. Maklumat tambahan lain boleh didapati dari indeks warna, tekstur, struktur dan kadang-kadang hubungan di lapangan (Foto 11 – 14).
Batuan metamorf : Batuan terhasil akibat perubahan mineralogi, kimia dan struktur dalam sifat pepejal daripada batuan terdahulu di dalam bumi. Batuan metamorf mempamerkan pelbagai tekstur, struktur dan mineralogi disebabkan oleh julat suhu dan tekanan. Darjah metamorfisme yang berlaku ke atas batuan dirujuk kepada gred rendah, sederhana dan tinggi (Foto 15 – 19).
Batuan sedimen : Batuan sedimen terbentuk dari proses hakisan dan pengenapan yang aktif di permukaan bumi. Permukaan bumi sering dan masih diserang oleh agen-agen luliuhawa dan hakisan seperti hujan dan sungai. Agen-agen fizikal telah membantu pereputan kimia melalui penyerapan air yang mampu memecahkan batuan keras dan menghasilkan saki baki batuan. Sedimen tersebut akan diangkut oleh sungai dan mengenapkannya di muara sungai, di tasik atau di lautan. Bahan-bahan tersebut berkumpul sehingga mencapai beberapa kilometer tebal untuk membentuk batuan sedimen. Ciri utama yang diperlukan dalam mengkaji batuan sedimen di lapangan adalah tekstur, struktur, mineralogi, warna dan hubungan lapangan. Perlapisan merupakan elemen yang universal di dalam batuan sedimen di mana lapisan yang wujud menggambarkan variasi tekstur dan mineralogi (Foto 19 –22).