- lestari > kekal, tidak berubah
- melestarikan > mengekalkan, menetapkan
- pelestarian > perlindungan daripada kemusnahan
- kelestarian > keadaan yang tidak berubah
PERKATAAN lestari
amat biasa didengar ketika ini. Banyak perkara dikaitkan dengan
perkataan tersebut, antaranya pembangunan lestari, alam sekitar lestari,
bandar lestari, sekolah lestari, ekonomi lestari dan kehidupan lestari.
Gabungan perkataan-perkataan ini seterusnya membentuk makna-makna
berbeza bagi menerangkan konsep-konsep berbeza.
Kekerapan penggunaan perkataan lestari
dan gabungannya dengan pelbagai perkataan lain menjadikannya ‘sedap
didengar’ tetapi tidak bermakna maksudnya benar-benar difahami. Malah,
kemungkinan besar, keluasan penggunaannya sehingga meliputi pelbagai
aspek kehidupan manusia, menjadikan maksud sebenar perkataan tersebut
semakin terhakis.
Ketika ini, perkataan lestari hanya difahami
sebagai ‘sesuatu yang baik’ sedangkan makna sebenar perkataan itu juga
meliputi pemeliharaan kelangsungan pelbagai ‘perkara baik’ yang ingin
dicapai manusia, misalnya memelihara kelangsungan ekonomi, kekuasaan
politik, mutu alam sekitar dan sebagainya.
Ketidakfahaman
atau kekeliruan akan makna sebenar kelestarian menjadikan usaha
mencapainya laksana layang-layang melawan angin. Segala usaha telah
cuba dilakukan tetapi hasilnya sukar kelihatan. Mungkin inilah yang
menjadi punca ketidaklestarian kehidupan masyarakat masa kini.
Terdapat
banyak petanda kehidupan tidak lestari masyarakat kini. Antaranya boleh
dilihat melalui beberapa petunjuk misalnya penghasilan sisa pepejal.
Saban tahun, penghasilan sisa pepejal di Malaysia semakin meningkat.
Pada 2005, 19,000 tan sampah dihasilkan sehari dan dalam 2016, jumlah
itu berganda kepada 38,200 tan sehari. Penghasilan sampah ini dijangka
mencapai 45,900 tan sehari pada 2020. Isi rumah adalah penyumbang
terbesar penghasilan sisa pepejal di negara ini (65 peratus).
Dari
segi kitar semula pula, terdapat peningkatan yang agak baik iaitu
daripada 10.5 peratus (2012) kepada 17.5 peratus (2016). Namun, kadar
ini masih terlalu jauh jika dibandingkan negara-negara lain seperti
Jerman (65 peratus) dan Korea Selatan (59 peratus) pada 2013. Malah,
lebih membimbangkan apabila isi rumah, walaupun menghasilkan jumlah
sampah terbesar, namun hanya mengitar semula pada kadar 9.1 peratus
sahaja.
Melihatkan kepada peningkatan
penghasilan sampah dan kurangnya kesedaran terhadap pengurangan sampah
dan amalan kitar semula, maka boleh dikatakan bahawa gaya hidup tidak
lestari masih menjadi identiti masyarakat Malaysia. Jika ini berterusan,
adakah kelestarian boleh dicapai?
Prinsip-prinsip
kelestarian mula diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-3 (1976-80)
dan seterusnya menjadi agenda penting dalam rancangan pembangunan
berikutnya. Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-5) menyatakan bahawa
“penekanan akan diberikan untuk menangani isu-isu alam sekitar dan
sumber secara bersepadu dan holistik. Langkah-langkah akan diambil untuk
mengenal pasti pendekatan pengurusan berhemah, kos efektif, dan sesuai
dan memberi pelbagai manfaat bagi memastikan pembangunan lestari dan
berdaya tahan”.
Usaha-usaha secara ikhlas
dan tegas untuk mencapai kelestarian terutamanya kelestarian hidup
perlulah digerakkan segera dan secara tersusun. Bagi tujuan tersebut,
tulisan Joern Fischer et al. (2012) yang bertajuk Human Behaviour and
Sustainability amat menarik untuk dikongsi di sini. Beliau mencadangkan
lima usaha yang boleh digerakkan untuk mencapai kelestarian iaitu,
pembaharuan institusi formal negara; mengukuhkan institusi masyarakat
awam dan memupuk penglibatan mereka; mengawal penggunaan dan
mengurangkan pertumbuhan penduduk; mempertimbangkan kesaksamaan dan
keadilan sosial dalam membuat keputusan; serta menegakkan nilai dan
sistem kepercayaan yang menjadi asas membentuk tingkah laku.
Daripada
lima usaha yang dicadangkan ini, ada di antaranya mungkin menimbulkan
persoalan dan kontroversi. Misalnya, pengurangan pertumbuhan penduduk.
Ini kerana, ada sesetengah pengkaji yang melihat masalah penggunaan
sumber bukan semata-mata disebabkan oleh pertambahan penduduk tetapi
yang lebih penting adalah pembahagian penggunaan sumber yang tidak
seimbang antara kumpulan yang kaya dan miskin di dunia ini.
Sebenarnya,
sebilangan kecil penduduk kaya di dunia (20 peratus) menggunakan
sebahagian besar daripada sumber-sumber di dunia (80 peratus sumber) dan
membiarkan hampir lima bilion penduduk dunia hidup dengan baki 20
peratus sumber. Hasilnya, berbilion-bilion orang hidup tanpa keperluan
asas kehidupan seperti makanan, air, perumahan dan sanitasi.
Walaupun
terdapatnya perbezaan pandangan terhadap beberapa cadangan Fischer,
namun dua daripada cadangan yang beliau utarakan amat menarik untuk
diberi perhatian, iaitu memupuk penglibatan masyarakat dan kepentingan
sistem nilai dan kepercayaan.
Ini bermakna
untuk mencapai kelestarian, penglibatan masyarakat sangat penting. Jika
masyarakat dibiarkan keliru dengan makna dan konsep kelestarian maka
kemungkinan besar usaha mencapai negara dan gaya hidup lestari tidak
akan tercapai. Jadi, persoalannya kini, adakah masyarakat Malaysia
benar-benar faham dan menghayati prinsip kelestarian dan adakah mereka
mampu menjadikannya amalan dalam kehidupan seharian? Selagi persoalan
ini tidak mampu dijawab maka lupakan sahaja hasrat untuk membentuk
sebuah negara lestari yang kita idamkan.
Selain
itu, Fischer juga menyebut tentang peranan sistem nilai dan kepercayaan
dalam mencapai kelestarian. Ramai yang bersetuju dan menerima bahawa
acuan utama sistem nilai manusia adalah agama. Adakah Fischer cuba
menyatakan bahawa kelestarian tidak akan tercapai tanpa adanya agama?
Hakikatnya, ramai yang tidak suka mengaitkan kehidupan seharian mereka
dengan agama. Kata mereka, agama adalah soal ibadah semata-mata. Ia
tiada peranan dalam merencanakan pembangunan negara malah dalam
pengurusan alam sekitar sekalipun. Nyata, ini satu kesilapan besar.
Tanpa sistem nilai yang berpaksikan kebenaran, kelestarian tidak mungkin
dicapai. Jadi, kebenaran apakah yang cuba kita dustakan?
Cadangan
yang diutarakan Fischer ini wajar diambil perhatian dalam usaha
membentuk sebuah negara atau kehidupan yang lestari. Sebahagian cadangan
beliau ini berbentuk struktural tetapi beliau tidak menolak aspek
pembentukan nilai untuk mengubah sikap dan pemikiran masyarakat. Apa
yang perlu, semua aspek yang dikira penting untuk mencapai kelestarian
haruslah diusahakan. Inilah yang dikatakan sebagai pendekatan menyeluruh
untuk merealisasikan kehidupan lestari.