Selasa, Oktober 02, 2018

ISU PEMANASAN GLOBAL – APAKAH PUNCA DAN KESANNYA?

ISU PEMANASAN GLOBAL – APAKAH PUNCA DAN KESANNYA?


 – Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding dengan suhu normal. Hal ini menyebabkan kita terasa panas walau pun pada waktu malam.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti penebangan hutan, aktiviti perindustrian, pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan, penerokaan hutan untuk aktiviti pembangunan dan lain-lain.

Kesilapan manusia terhadap alam sekitar menyebabkan banyak kesan negatif yang telah berlaku. Antara yang paling ketara ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Selain itu, berlakunya kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.

Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah penipisan lapisan ozon akibat pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).

Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba, hujan asid dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.

Mari kita mengenal bagaimana setiap proses ini berlaku sehingga menyebabkan berlakunya pemanasan global ini.


1) JEREBU

Jerebu berlaku disebabkan terdapat banyak debu, asap, habuk dan bahan-bahan pencemar lain yang terapung-apung di udara akibat aktiviti manusia dan secara semulajadi. Fenomena jerebu ini boleh mengurangkan jarak penglihatan. Selain itu, jerebu juga boleh menjejaskan kesihatan manusia, misalnya kesukaran untuk bernafas.


2) PENIPISAN LAPISAN OZON

Klorofluorokarbon (CFC) merupakan penyumbang utama kepada penipisan lapisan ozon. Gas CFC terkandung dalam alat-alat seperti penyaman udara, aerosol dan peti sejuk. Semasa CFC dibebaskan di atmosfera, klorin akan bertindak dengan ozon dan membebaskan oksigen. Akibatnya, lapisan ozon semakin nipis.Penipisan lapisan ini akan menyebabkan sinaran ultraungu sampai terus ke permukaan bumi dan boleh memberi kesan negatif kepada manusia seperti penyakit kanser kulit dan katarak mata.


3) KESAN RUMAH HIJAU

Kesan rumah hijau adalah fenomena pemanasan bumi akibat banyak haba terperangkap dalam lapisan atmosfera dan menghalang pembalikan semula bahang dari bumi ke atmosfera. Haba dipantulkan semula ke bumi, atmosfera menyimpan lebih banyak haba dan bumi menjadi semakin panas. Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera.



4) PULAU HABA BANDAR

Pulau haba bandar merupakan fenomena atmosfera yang berkaitan dengan peningkatan suhu yang tinggi di dalam kawasan bandar berbanding kawasan sekitarnya. Ia berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar. Akibatnya kita boleh mendapat sakit kepala.


5) HUJAN ASID

Di kawasan perindustrian seperti Petaling Jaya, kilang membebaskan asap yang mengandungi gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida. Tindak balas gas ini dengan wap air dalam udara membentuk asid nitrik dan asid sulfurik lemah. Apabila hujan, ia dikenali sebagai hujan asid. Hujan asid boleh memusnahkan tumbuh tumbuhan, merosakkan binaan, mencemarkan air dan mengancam hidupan air. Kesihatan manusia terjejas akibat kesan secara langsung hujan asid.


6) KEMARAU

Kegiatan manusia menebang hutan secara berleluasa akan mengurangkan kawasan tumbuh-tumbuhan. Kesannya, semakin kurang kelembapan dilepaskan oleh tumbuh-tumbuhan ke udara. Udara yang kurang lembap tidak akan membawa hujan dan kemarau pun berlaku.
Apabila berlakunya faktor-faktor di atas secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu kepada bumi. Cuba lihat graf di bawah ini yang menunjukkan suhu bumi yang semakin meingkat dengan cepat dari tahun ke tahun.


Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal lagi akibat berlakunya peningkatan suhu ini.
Marilah kita sama-sama menginsafi diri kerana hanya bumi ini sajalah tempat tinggal kita. Tiada lagi planet lain yang boleh kita jadikan ganti selain bumi.. Hargailah pemberian Allah yang paling bermakna ini. Janganlah kita cemarinya lagi. Jangan sampai anak cucu kita menyalahkan kita disebabkan kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini.
Mudah-mudahan selepas membaca artikel ini akan dapat menyedarkan kita betapa pentingnya bumi ini kepada manusia dan makhluk Allah yang lain….

RAMALAN GEO SEM 2 SIRI 3 2024