Pokok Bakau
Pokok Bakau merujuk kepada tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya di muara sungai, antara pertembungan air tawar dan air laut. Pokok bakau terdiri daripada pelbagai spesies antaranya termasuk spesies Api-api Avicennia spp., bakau Kurap Rhizophora spp., Perepat Sonneratia spp. dan Berus Bruguiera spp.
Pokok Bakau biasanya memiliki buahnya yang berbulu dan bahagia bawah daun yang berbulu. Bulu pada daun menyimpan air dengan memerangkap lapisan udara dan dengan itu mengurangkan kehilangan air melalui penyejatan.
Di sesetengah tempat,buahnya direbus dan dimakan, kadang kala ia dijual sebagai sayuran. Bunganya wangi dan menghasilkan madu dan didebungakan oleh serangga. Avicennia menghasilkan antara madu yang terbaik.
Di Malaysia, hutan Bakau biasanya dilindungi dan kawasan hutan Bakau Simpan yang telah digazetkan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan untuk pengeluaran kayu secara mapan. Pada masa ini Malaysia mengamalkan sistem penebangan secara clear-felling mengikut giliran iaitu dalam jangka masa 20 hingga 30 tahun.
Kepentingan
Pokok bakau ini merupakan salah satu spesies cepat tumbuh dan yang digunakan dalam penanaman semula hutan bakau bagi melindungi persisiran pantai (yang lain adalah Sonneratia dan Rhizophora). Ia jarang dijadikan arang dan biasanya digunakan bagi menyalai ikan atau getah.Hutan bakau juga merupakan sumber balak kayu bakau yang tahan bagi pembinaan di kawasan lecah dan dalam air. Kayu bakau tanah mampu berendam dalam air tanpa rawatan rumit dan tahan lama.
Hutan bakau penting sabagai tempat anak ikan berlindung. Sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar, keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan tersebut akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan berlindung dan membesar. Selain itu hutan bakau turut digunakan oleh beratus jenis burung berhijrah sebagai tempat perlindungan untuk bertelur dan berehat. Selain itu ia menjadi habitat penting bagi pelbagai jenis ketam seperti ketam Nipah, dan udang. Di Sabah, hutan bakau juga merupakan habitat Kera Bekantan dan Sabah mempunyai kawasan bakau terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Hutan bakau juga bertindak sebagai pemampan hakisan ombak. Ini kerana akarnya yang berceranggah membantu mengukuh dan mengikat tanah daripada hakisan ombak, malah mampu meluaskan lagi kawasan tanah kerana daun dan sampah sarap yang terperangkap pada akarnya yang berserabut mendap dan menimbun. Kawasan hutan bakau biasanya tumbuh rapat dan padat dan memiliki akar udara yang berceranggah menonjol dari dalam air. Hutan bakau ini mampu memperlahankan aliran air, dengan itu membenarkan bendasing dan lumpur halus yang terapung dalam air untuk mendak membentuk kawasan berlumpur. Proses ini mampu untuk menebus guna tanah dan menghasilkan pantai baru.[1]
Hutan bakau juga terbukti mampu bertindak sebagai pemampan tsunami kerana sifatnya yang tumbuh secara padat dan akarnya yang kukuh dipersisiran kuala.[2] Oleh itu hutan bakau turut ditanam semula di Malaysia[3], dan Indonesia
Lokasi
Hutan bakau di Malaysia hidup subur di muara dan delta yang terlindung.Hutan Bakau Simpan Matang
Hutan Bakau Simpan Matang di Perak (40,151 ha) merupakan salah sebuah kawasan bakau yang mempunyai sistem pengurusan yang terbaik di dunia dan membekalkan sumber-sumber seperti arang, kayu api dan bahan binaan bangunan seperti tiang.Nilai ekologi
Hutan bakau penting untuk perlindungan kawasan pantai :- Ia melindungi pesisir daripada kuasa fizikal seperti ombak yang menghakis pinggir pantaidan angin pantai yang kencang.
- Hutan bakau menstabilkan kawasan pantai dan bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap ribut taufan.
- Bakau menjadi tempat perlindungan beberapa spesies flora dan fauna yangmempunyai penyesuaian yang unik. Banyak spesies udang marin dan ikan mencari makanan, bertelur dan membesar di sini.
- Kawasan bakau dan dataran lumpur yang berkaitan dengannya adalah tapak penting bagi burung-burung residen dan hijrah mencari makan dan bersarang .
- Hutan bakau mampu mengurangkan kesan ombak tsunami di sepanjang pinggir pantai di utara Kedah, Perlis dan Perak
-
Masalah hutan bakau
Hutan bakau tidak tahan dengan tahap gangguan yang tinggi dan amat sensitif terhadap :
- penukaran tanah
- penebangan hutan
- penebusgunaan
- pencemaran.
- akuakultur
- ternakan ikan dalam sangkar
- kolam ternakan udang dan ikan air masin
- Zon perindustrian yang berdekatan dengan pelabuhan
- Pembinaan kawasan pangkalan nelayan
- Pelabuhan dan tapak gudang kontena-kontena
- Perbandaran dan perkampungan nelayan poinggir pantai.
- Tempat pembuagan sisa cecair ole kapal dagangan dan bot nelayan.
Pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan wujud di dalam dan di sekitar hutan bakau. Namun begitu ia juga merupakan ekosistem tanah bencah yang paling produktif. Tahap kemasinan yang tinggi, kandungan oksigen yang rendah di dalam air dan tanah, keadaan tanah yang tidak stabil dan tidak berupaya menyokong pokok-pokok besar adalah di antara beberapa aspek persekitaran ini.
Walau bagaimanapun, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang mendiami kawasan bakau telah menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini dengan membentuk beberapa ciri penyesuaian yang istimewa.
Tumbuh-tumbuhan bakau mengatasi kandungan oksigen yang rendah dengan akar udara khas yang dikenali sebagai ‘pneumatofor’ iaitu akar yang tumbuh secara menegak daripada permukaan tanah untuk mendapatkan oksigen.
Kawasan bakau mempunyai tanah lembut yang seakan-akan tanah liat dan tumbuh-tumbuhan bakau dapat tumbuh dengan tegap dengan menggunakan akar banir dan akar sokong.
Tanah yang berkelodak dan perubahan pasang surut (air pasang surut) tidak sesuai bagi perkembangan anak pokok bakau. Untuk mengatasi masalah ini, tumbuh-tumbuhan bakau mempunyai kaedah percambahan biji benih yang unik yangdikenali sebagai ‘vivipariti’.Tumbuh-tumbuhan vivi parus mempunyai biji benih yang boleh membesar dan mengeluarkan akar dan pucuk muda semasa ia masih lagi berada bersama pokok induk. Anak benih ini kemudiannya akan jatuh daripada induknya dan tertanam di dalam tanah. Ia akan terus membesar atau kekal dorman sehinggalah dihanyutkan arus ke tempat yang lebih sesuai untuk membesar.
Kepelbagaian biologi
Hutan bakau merupakan tempat tinggal bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Empat jenis utama yang mempunyai penyesuaian paling ketara ialah :- Avicennia (Api-api)
- Rhizophora (Bakau)
- Sonneratia(Perepat)
- Bruguiera (Berus/Tumu)
Habitat bakau
Habitat bakau menampung jumlah haiwan yang besar, daripada yang paling halus (zooplankton) sehinggalah kepada reptilia yang besar:
- Buaya Muara
- Ketam Rebab
- Ketam Lumpur
- Ikan Belacak
- Udang Kara
- Ular Bakau
- Lotong Kelabu
- Memerang Licin
- Berok
- Kelawar
Hidupan hutan bakau
Banyak spesies ikan , krustasia dan udang menakluki kawasan bakau semasa air pasang untuk mencari makan. Haiwan ini merupakan hidupan yang bergerak perlahan atau tidak bergerak langsung yang dijumpai di akar dan pokok bakau. Contohnya ;
- Siput
- Tiram
- Teritip
-
Burung
Haiwan yang paling menarik di kawasan bakau dan dataran lumpur berhampirannya ialah spesies burung air dan burung pantai. Burung-burung ini memakan pelbagai jenis makanan, termasuklah plankton , tumbuh- tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan. Burung-burung ini mempunyai ciri-ciri penyesuaian khas yang merangkumi saiz dan bentuk paruh, leher, kaki dan kibaran sayap yang disesuaikan dengan tabiat pemakanan yang tertentu.
Antara burung yang berterbangan di hutan bakau ialah:
- Burung Bangau (Burung Bangau Kecil dan Burung Bangau Putih Besar)
- Burung Pucung (Burung Pucung Keladi dan Burung Pucung Seriap)
- Burung Botak Upeh
- Burung Helang Merah
- Burung Helang Siput
- Burung Pacat Bakau
- Burung Murai Bakau
- Burung Sambar Biru Bakau
- Burung Pekaka Sungai
Kegunaan Hutan Bakau
- Banyak spesies ikan, udang dan ketam yang bernilai komersial hidup di kawasan bakau dan persekitarannya. Keuntungan daripada kegiatan perikanan di kawasan bakau mencecah berjuta-juta ringgit setahun.
- Penduduk setempat dan lain-lain kawasan turut menggunakan pokok bakau sebagai sumber kayu balak.
- Penduduk di kawasan pantai pula menggunakan kayu bakau untuk membina rumah dan bot (sebagai rasuk, alang, pelancar dan tiang)
- .Kayu bakau juga digunakan untuk membuat perangkap ikan
- Arang dan kayu api selain daripada menjadi sumber bahan api
- Kraftangan dan barangan rumah (pemegang alatan dan perabot).
- Tanin yang diperolehi daripada kulit pokok bakau digunakan untuk mewarnakan jaring, kain layar dan pelekat plastik.
- Banyak bahagian tumbuh-tumbuhan bakau boleh dimakan dan sememangnya dijadikan makanan oleh penduduk setempat
- Ubat-ubatan (contohnya dedaun, tunas, buah-buahan dan biji benihnya).
- Daun-daun Nipah yang bersaiz besar digunakan dalam pembuatan atap dan rokok daun serta penganyaman bakul dan tikar.