Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau
Kepelbagaian Bio Hutan Paya Bakau: Salah satu jenis hutan yang
utama dan penting di Malaysia adalah Hutan Paya Bakau. Ianya menjadikan
negara Malaysia kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna. Keunikan hutan
bakau yang tumbuh di persisir pantai dan muara sungai di mana
pertembungan antara darat dan laut serta pertemuan ait tawar dan masin
mewujudkan satu lokasi kepelbagaian bio yang unik dan menarik.
Hutan Paya bakau
melengkapkan ekosistem dipesisir pantai yang mempunyai peranan penting
dalam kestabilan bentuk alam ini. Peranannya yang menjadi benteng
pemecah ombak yang mampu menghalang hakisan dan ancaman bencana alam
dari laut.
Hutan Paya Bakau Di Malaysia
Hutan paya bakau di Malaysia hidup subur di muara dan pantai yang
terlindung. Hutan bakau di Malaysia meliputi kawasan seluas 586,036 ha;
57% daripadanya terletak di Sabah, 26% di Sarawak dan 17% lagi di
Semenanjung Malaysia. Sabah mempunyai kawasan hutan paya bakau yang
terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Antara ciri-ciri penting habitat hutan paya bakau ialah:
- Tahap kemasinan yang tinggi
- Kandungan oksigen yang rendah di dalam air dan tanah
- Tanah berlumpur dan lembut
- Dipengaruhi air pasang surut
Walau bagaimanapun, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang mendiami
kawasan hutan bakau telah menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini
dengan membentuk beberapa ciri penyesuaian yang istimewa.
Kepelbagaian Biologi
Hutan paya bakau mempunyai keunikan dan keindahan alam semulajadi yang
sungguh menakjubkan. Ianya menjadi lokasi faura dan fauna hebat yang
hidup saling perlu-memerlukan dalam meneruskan kesinambungan dan
mengekalkan kewujudan hutan paya bakau ini. Kepelbagaian bio di sini
sungguh mengagumkan.
Hutan paya bakau merupakan tempat tinggal bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Empat genus utama tumbuhan pokok bakau
yang mempunyai penyesuaian paling ketara ialah Avicennia (Api-api),
Rhizophora (Bakau), Sonneratia (Perepat) dan Bruguiera (Berus/Tumu).
Habitat di hutan paya bakau menampung jumlah haiwan yang besar, daripada
yang paling halus (zooplankton) sehinggalah kepada reptilia yang besar
iaitu Buaya Muara. Penghuni hutan paya bakau yang paling biasa ditemui
ialah Ketam Rebab, Ketam Lumpur, Ikan Belacak, Ular Bakau, Lotong
Kelabu, Memerang Licin, Berok dan Kelawar.
Banyak spesies ikan, krustasia dan udang menakluki kawasan bakau semasa
air pasang untuk mencari makanan. Siput, tiram dan teritip pula
merupakan hidupan yang bergerak perlahan atau tidak bergerak langsung
yang boleh dijumpai di atas akar pokok bakau.
Haiwan yang paling menarik di kawasan bakau dan dataran lumpur
berhampirannya ialah spesies burung air dan burung pantai. Burung-burung
ini memakan pelbagai jenis makanan, termasuklah plankton,
tumbuh-tumbuhan air, cacing, krustasia, moluska dan ikan.
Burung-burung ini mempunyai ciri-ciri penyesuaian khas yang merangkumi
saiz dan bentuk paruh, leher, kaki dan kibaran sayap yang disesuaikan
dengan tabiat pemakanan yang tertentu. Burung air besar iaitu Burung
Bangau (Bangau Kecil dan Bangau Besar), Burung Pucung (Pucung Keladi dan
Pucung Seriap) dan Burung Upeh (Burung Upeh dan Burung Botak) adalah
penghuni kawasan bakau yang lazim ditemui.
Lainlain burung bakau termasuklah Helang Merah, Helang Siput, Burung Pacat Bakau, Murai Bakau,
Burung Sambar Biru Bakau dan Pekaka Sungai. Kesemua burung ini lazim dijumpai di kawasan hutan paya bakau.
Bersama kita menjaga dan memelihara keindahan alam semulajadi yang
istimewa ini. Kepentingannya kepada kestabilan alam dan kehidupan tidak
dapat disangkal lagi. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk
sama-sama mengekalkan kewujudan hutan paya bakau di negara ini. Sayangi
dan cintai hutan paya bakau kita.