Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang Lestari
"Kita
tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita
meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar
supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma
Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling
berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Alam semula jadi menjadi tonggak
utama negara sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan
sumberkayu-kayan. Malangnya, Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan
tiada kesan apabila sumber-sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk
manusia menikmati pembangunan. Oleh itu, kita perlu merencanakan pembangunan
yang mapan atau pembangunan lestari.
Pembangunan mapan atau pembangunan lestari merupakan gabungan antara
pembangunan yang maju dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Kita
perlu menitikberatkan pembangunan yang seimbang. Sebagai rakyat yang
bertanggungjawab, kita harus melakukan
anjakan paradigma untuk mewujudkan pembangunan yang lestari dengan
melakukan beberapa pendekatan yang pragmatik.
Program kitar semula memainkan peranan
yang penting dalam menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam
sekitar dan sumber semula jadi yang mapan dan lestari. Secara spesifik, program
ini bertujuan untuk mengurangkan intensiti
pencemaran dan sisa daripada aktiviti pembandaran dan perindustrian, di samping
memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan
aspirasi rakyat. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di
setiap pelosok tanah air. Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat
nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar
semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak.
Semua pihak perlulah menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup. Pelaksanaan
program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya
bermusim seperti hangat-hangat tahi ayam. Usaha untuk memastikan program
ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda
yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak. Tegasnya, program kitar
semula dapat mencapai pembangunan yang lestari, berkualiti dan seimbang.
Selain
itu, orang ramai digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan
bermotor. Mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan
mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan
minyak enjin biomass daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya,
di negara kita, ahli sains telahpun menemukan sejenis minyak daripada kelapa
sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan
enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baharu untuk dipastikan sama ada
praktikal ataupun tidak namun penemuan ini patut dijadikan satu titik permulaan
bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan lestari. Oleh
itu, penggunaan petrol tanpa plumbum turut membantu dalam melaksanakan
pembangunan lestari.
Salah satu
langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari ialah
pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap individu atau organisasi yang telah didapati
bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.
Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar
menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang
berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak
terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam seperti mengenakan dendaan yang
tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan
tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan
batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya
tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan
keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat.
Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana
mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan
kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib
mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan
alam sekitar.
Di samping itu, pihak sekolah hendaklah
memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam
sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang
sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang
sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata
pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini
bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah
khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan
tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan
pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam
sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini
akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari
dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah
merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari.
Jika
kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu
dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana
penanaman semula dapat menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang
untuk melakukan projek pembanguan negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar
dan ekologi negara tercapai. Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan
bahawa negara kita perlu membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun
begitu, kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang
bakal menimpa. Kita haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok
yang ditebang perlu diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak pemaju tidak harus bersikap bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mereka seharusnya
berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari tercapai. Ironinya,
pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti penanaman semula.
Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai
langkah yang dikenal pasti dapat membangunkan negara dengan lestari jika
dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah
bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat
dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan. Jika pembangunan lestari terbantut, generasi akan
datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan
kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mewujudkan pembangunan yang seimbang tanpa
melakukan kemusnahan alam sekitar.
Semoga generasi cucu cicit kita dapat menikmati kemajuan dan pembangunan
negara dengan diselimuti kehijauan alam sekitar.