TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN
Sektor
pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk
menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing.
Usaha-usaha seperti berikut sedang dilaksanakan oleh Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani:
(i) Transformasi Ladang
Saiz
tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran
yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala seperti projek
kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara estet / kelompok, Taman
Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah pun dilaksanakan.
Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas
(TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan
perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan lembu.
(ii) Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi Dan Teknologi
Negara
perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang
bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal,
teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi
dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah
dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi
melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan
sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat post harvest.
(iii) Pengurusan Ladang Yang Moden
Program
latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan peladang
dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi meningkatkan
produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja pengembangan yang terlibat
dalarn aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan pengetahuan dan
kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha
meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal.
Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina
untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
(iv) Daya Saing Lebih Tinggi
Kualiti
produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian negara
tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi di
pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar negara
yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan WTO
dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang tinggi.
Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan mematuhi
piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil
pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan
kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas
melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang
ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan,
kilang pemprosesan, stesen kuarantin clan pintu masuk ke dalam negara.
(v) Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
HASIL TANI DI PASARKAN TERUS KEPENGGUNA |
(vi) Pengezonan (zoning)
Selaras
dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk, pembangunan
secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian akan
dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian
secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage)
diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian
akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan
kawasan integrasi ladang (TAC). Penwujudan zon-zon ini akan membolehkan
para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik
yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga
membolehkan Kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti
pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.
(vii) Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan
juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan
seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah
insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam
projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain
daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk
menggalakkan eksport dan sebagainya.
(viii) Latihan
Pusat
Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang,
menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)
bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan
berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah di samping
meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan
latihan yang lebih baik kepada golongan sasar.
(ix) Kemudahan Infrastruktur
Sebagai
usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor pertanian,
Kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur serta
khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini,
kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang
akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada
itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran
produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan
keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke pasaran.