Ahad, Ogos 22, 2010

MEMAHAMI TEORI HANYUTAN BENUA

Memahami Hanyutan Benua



Teori Hanyutan Benua atau Continental Drift Theory sebenarnya adalah satu teori yang masyhur dan sukar untuk ditolak begitu saja. Dokumentari sains seperti National Geographic, Discovery Channel dan banyak lagi telah menyiarkannya. Teori ini bukan saja berkenaan gempa bumi secara khusus tetapi adalah menonjolkan persoalan kenapa benua Afrika boleh dicantumkan dengan benua Amerika Selatan. Begitu juga benua Antartika boleh dicantumkan dengan mudah dengan benua Afrika di bahagian bawahnya.

Teori ini tidak silap dan Alfred Wegener adalah benar apabila beliau mengemukakan teorinya dalam tahun 1915. Alfred Wegener (1880 - 1930) yang hidup sezaman dengan Albert Einstein adalah salah seorang ahli saintis bumi yang bukan calang-calang kerana teorinya masih digunapakai oleh ramai ahli geologi hari ini dalam memperjelaskan bagaimana bumi kita di suatu masa yang amat lama dahulu iaitu diperkirakan sekitar 300 juta tahun lampau adalah satu daratan yang satu.

Sebelum pemisahan benua, asalnya bumi merupakan satu daratan yang satu dikenali dengan nama "Pangaea" atau "Superbenua" (Supercontinent) yang mengandungi benua Amerika Selatan, Afrika, India, Antartika dan Australia sekaligus di satu daratan yang diberi nama sebagai "Gondwanaland" manakala benua Amerika Utara, Eropah dan Asia bercantum di bahagian utara Gondwanaland ini membentuk daratan "Laurasia". Di sekeliling benua ini adalah lautan luas. Semua benua yang bercantum ini seakan-akan kepingan-kepingan "jigsaw puzzle", satu permainan susun-atur lazim oleh kanak-kanak.

Perlu diingatkan bahawa pemisahan bukannya berlaku dalam masa yang singkat tetapi telah bermula lama sebelum itu iaitu pada 200 juta hingga 300 juta tahun lampau dan akhirnya pemisahan itu menjadi ketara yang melibatkan banyak benua hanyut pada 135 juta tahun lampau. Umur bumi adalah 4,500 juta tahun. Ini bermakna ketika bumi telah berumur 4,365 juta tahun, barulah pemisahan yang berlaku ini memperlihatkan beberapa buah benua telah dihanyutkan ke kedudukan yang lebih jauh dari kedudukan asal.

Saya sarankan jika anda berminat untuk membaca lebih lengkap mengenai Hanyutan Benua yang bukan sekadar teori, dapatkan saja buku dan majalah ini:
1. Dorling Kindersley: Eyewitness Science - Earth - muka surat 34 dan 35.
2. Siri Penerokaan dan Penemuan Macmillan: Dunia Yang Berubah - muka surat 18 dan 19.
3. Scientific American: Science in The 20th Century (Special Issue 1991): lihat muka surat 114 hingga 129 - artikel dari kertas kerja saintifik Continental Drift oleh J. Tuzo Wilson pada tahun 1963 yang sungguh menarik dibaca.

Saya mempunyai bahan bacaan di atas ini dan dengan demikian kenapa saya sangat berminat untuk memahami isu ini semenjak berbelas-belas tahun yang lalu. Adalah tidak bagus jika ada yang hanya suka menyangkal sesuatu penemuan dan penyelidikan yang dijalankan oleh para saintis tanpa memahami sekian masalah dan betapa maklumat yang diberikan oleh mereka itu cukup penting untuk kita memahami perubahan terhadap bumi kita jutaan tahun lampau.

Adalah tidak adil menyalahkan mereka sedangkan umat Islam sendiri tidak peka untuk mengemukakan teori-teori seperti ini. Di manakah kredibiliti umat Islam yang hanya tahu menentang, tidak cuba memperhalusi fakta yang mereka perolehi. Jika teori manusia berasal dari beruk memang wajar umat Islam tolak sebab banyak bukti yang menyangkalnya. Hanyutan benua bukan sekadar teori tetapi adalah fakta bagaimana sepanjang pesisiran pantai bahkan pedalaman benua Amerika Selatan dan Afrika mempunyai tumbuhan yang sama dan hidupan yang sama. Banyak fosil hidupan/tumbuhan purba ditemui berpadanan antara keduanya di kedua-dua bahagian benua berkenaan. Begitu juga benua-benua yang lain mempunyai kebersamaan hidupan/tumbuhan yang berpadanan.

Saya suka membaca dan mengambil manfaat dari apa yang ditemui oleh para saintis dahulu dan sekarang. Kita hanya perlu memikirkan sedikit sebanyak sama ada segala teori mereka bahkan apa yang menjadi hakikat dari penemuan itu boleh memberikan kita kesedaran dan keinsafan, bukan memperlecehkan.

Hanyutan benua mengambil masa berjuta-juta tahun bahkan benua-benua yang ada sepertimana sekarang ini masih lagi berkeadaan bergerak seinci ke seinci setiap tahun. Bulan juga sedang menjauhi bumi inci ke inci setiap tahun. Sebenarnya simulasi superkomputer yang telah berjaya mengesahkan bahawa teori hanyutan benua adalah betul malahan simulasi superkomputer mampu menunjukkan apa yang akan berlaku terhadap benua-benua yang ada sekarang 50 juta tahun ke hadapan (itupun kalau belum kiamat!).

Kata Ketua Penyelidik NASA, Peter Olson, profesor geophysical fluid dynamics di Johns Hopkins University. "Motion is everywhere inside the Earth..." yang bermaksud kesemua jisim bawah bumi adalah bergerak atau hanyut di mana-mana saja. Pada 50 juta tahun ke hadapan, benua Australia akan bercantum dengan Asia Tenggara manakala benua Afrika akan mula berpisah dengan benua Asia.

Kefahaman kita ialah: semua apa yang diciptakan oleh Allah Ta'ala adalah berkeadaan dinamik. Galaksi-galaksi bergerak menjauhi sesamanya. Begitu jugalah dengan benua-benua di bumi. Kenyataan ini cukup kukuh sekali jika kita mahu menginsafinya. Bayangkan bagaimana pergerakan galaksi-galaksi iaitu quasar-quasar terpaling jauh sudah mengambil masa lebih 12 ribu juta tahun untuk menjauhi Galaksi Bima Sakti kita yang membuktikan Alam Semesta mengembang. Begitu jugalah benua-benua di bumi. Titik pengembangan benua-benua ini tidak diketahui di mana ia seharusnya berhenti dan kita tidak pasti adakah benua-benua akan terlepas rantaian ikatan sesamanya tanpa perlu menunggu 50 juta tahun kehadapan dan adakah dengan kekerapan berlakunya gempa bumi akan menyaksikan pelantar benua (continental plate) beranjak lebih cepat? Kemungkinan-kemungkinnya tetap ada dan semuanya dalam bidang keluasan ilmu Allah Ta'ala, manusia hanya diberikan ilmu ini hanya sedikit sekali umpama buih di laut!

Jadi saya tidak dapat menerima tanggapan penentang yang berbunyi: "karenanya teori itu belumlah lengkap sebagai dikatakan, tetapi baru berbentuk dugaan yang ditimbulkan oleh keadaan dan pengalaman yang menimpa". Malang sekali umat Islam tidak berfikir kenapa benua itu boleh berpisah dan kenyataan menyatakan Wegener tidak dapat menerangkan kenapa benua berganjak adalah tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana soalan ini sama juga dengan persoalan kenapa galaksi-galaksi boleh menjauhi sesama sendiri? Jika teori Big Bang tidak dikemukakan, penjauhan galaksi-galaksi tentu saja akan dipertikaikan juga. Apabila ada ayat Allah dalam Surah Al Ambiyak yang menerangkan langit dan bumi dahulunya adalah satu yang padu atau pernah bercantum maka begitulah juga dengan unsur air (lautan) dan daratan di bumi. Kedua-duanya saling pisah memisah antara satu sama lain.

Kenapa benua-benua yang ada sekarang adalah 7 benua, tidak 8 atau 9?... iaitu benua:
1. Asia 2. Eropah 3. Afrika 4. Amerika Utara 5. Amerika Selatan 6. Australasia dan 7. Antartika.

Australia adalah sebuah pulau terbesar dan ia juga adalah benua Australasia. Artik bukan sebuah benua kerana ia adalah lautan ais. Terdapat kisah purba mengenai tenggelamnya benua Atlantis ke dasar Lautan Atlantik. Sama ada benua Atlantis ini benar-benar wujud tidak dapat dipastikan tetapi ada diceritakan oleh cendekiawan Plato dari Yunani. Tidak dapat dipastikan juga jikalau benua Atlantis karam pada ketika banjir zaman Nabi Nuh tetapi ada maklumat yang saya temui mencadangkan teori ini bahkan dalam Al Quran iaitu Surah Al Qamar ayat 12 ada menyebut berkenaan maksud "bumi memancarkan mata air-mata air" manakala Surah Hud ayat 42 pula "dapur (tannur) telah memancarkan air". Surah Hud ayat 42: "dalam gelombang laksana gunung", ayat 44: "hai bumi telanlah airmu dan hai langit (hujan) berhentilah dan airpun disurutkan".

Ayat-ayat Quran tadi kelihatan menyampaikan mesej atau maksud bahawa bumi ketika zaman Nabi Nuh sebenarnya melimpahkan airnya dari satu sumber mata air (tannur). Tetapi di manakah sumber mata air ini? Inikah yang ditunjukkan pula dengan perkataan "tannur" dalam Surah Hud iaitu "dapur" atau "satu lohong" dalam bumi yang menyebabkan punca mata air atau "geiser" ? Jika kita perhatikan punca kewujudan geiser itu, contoh sebarangan yang boleh dituding ialah kawasan Lautan Atlantik sekarang yang menjadi rabung tengah laut (mid ocean ridge) di mana terletaknya Segitiga Bermuda. Kawasan inilah pada ribuan tahun yang lalu di mana terletaknya benua Atlantis yang dikatakan karam ke perut bumi semasa zaman Nabi Nuh.

Jika pendapat ini betul, tidak dapat tidak kita akan katakan bahawa sebenarnya benua di bumi ini terdiri dari 8 benua tetapi bak umpama ibu yang bersalin, selalunya bayi yang lahir pada bulan ke-8 tidak akan hidup lama, dan 9 bulan adalah kebiasaan bagi setiap kelahiran. Bukankah Allah Ta'ala sukakan bilangan yang ganjil dan nama-namanya juga dalam bilangan yang ganjil iaitu 99 nama Asmaul Husna?

Oleh itu, angka 7 adalah apa yang selalu ditegaskan dalam ayat Al Quran: "dan dijadikan-Nya 7 langit, begitu juga bumi". Faham di sini ialah asal-usul sesuatu ciptaan yang diciptakan oleh Allah pada dasarnya dari tunggalan yang berpisah kepada 7 bilangan. Saya telah menulis artikel mengenai bilangan 7 dalam falak-net beberapa bulan yang lalu dan diharapkan para netters tidak lupa apa yang saya tuliskan itu. Datuk Dr. Mazlan Othman mengatakan 7 adalah infiniti tetapi saya tidak berpandangan demikian bahkan setiap apa yang diterangkan oleh Al Quran adalah benar-benar memaksudkan sesuatu bilangan 7. Angka 7 adalah nilai dasar dan nilai ini boleh dipisahkan lagi iaitu gandaan 7 = 49, 2,401 dan seterusnya. Bilangan pemisahan ganda ini telah menakjubkan saya bilamana ia mencapai bilangan yang bersamaan dengan nilai banyaknya purata bintang (100 ribu juta) dalam Galaksi Bima Sakti bahkan juga bilangan purata keseluruhan galaksi yang dianggarkan dalam Alam Semesta juga 100 ribu juta. Mungkin infiniti yang dimaksudkan oleh Datuk Mazlan merujuk kepada angka 7 yang diganda-gandakan.

Bilamana perkataan Superbenua boleh wujud dalam istilah saintifik, kenapa pula tidak istilah Superbumi yang juga boleh diwujudkan untuk memahami bahawa sebelum ledakan besar duniawi (big bang), 7 langit adalah dikembangkan oleh pemeluwapan jisim Superbumi. Bagi saya, sebelum berlakunya Big Bang, masa dan ruang (space and time) telahpun lama wujud semenjak 7 lapisan langit dikembangkan. Sila perhatikan semula artikel saya yang lalu di falak-net.

Berbalik kepada hanyutan benua, tidak diragukan lagi bahawa penyebab kepada hanyutan benua adalah disebabkan oleh pelantar tektonik benua yang bergerak di atas mantle bumi. Kerak (crust) bumi yang walaupun keras, kukuh dan sangat rapat bukanlah hujah untuk menolak benua-benua menghanyut bahkan pada hakikatnya ialah kerak bumi itu terapung-apung di atas bendalir bumi (mantle) yang cair. Jika anda pernah menonton filem "The Core" pasti anda akan menyedari bahawa jika bendalir diteras bumi tidak bergerak, kerak bumi juga tidak akan dapat bergerak maka bumi tidak dapat berotasi di atas paku alamnya! Sekarang insafilah bahawa kerak bumi sebenarnya bukannya kukuh tetapi rapuh dan jika bendalir di teras bumi berupaya meleburkan kerak bumi, pasti saja umat manusia akan karam di dalam perut bumi semahunya!! Tidakkah anda berfikir demikian? Tidakkah anda semua takut bahawa kita boleh karam semahunya dalam bumi jika pelantar benua tidak kukuh. Kerana pelantar benua ini kukuhlah maka benua ini sedaya-upaya untuk mengekalkan kekukuhannya dengan cara menghanyut di atas mantel!

Faham di sini ialah benua berada di atas pelantar benua sebagi satu slide yang bergerak ke sana ke mari umpama perahu yang bergerak di atas permukaan air. Jika musnahnya "perahu" ini, akan karamlah benua itu kedalam perut bumi. Itulah apa yang berlaku terhadap benua Atlantis apabila terjadi lubang besar (tannur) di bawah benua tersebut hingga menyebabkan banjir di seluruh dunia ketika zaman Nabi Nuh. Ini bukanlah teori tetapi fakta yang masih diperdebatkan sekian lama dan saya turut berpendapat begini.

Tahukah anda bahawa lautan yang dikatakan dua pertiga dari bumi ini hanyalah menurut pemahaman geologi konvensional tetapi jika anda memahami istilah geodesi, apabila lautan di bumi dibuangkan, apa yang akan kita saksikan ialah keseluruhan bumi adalah daratan!! Air lautan hanyalah bertakung di atas lekukan-lekukan permukaan daratan bumi! Dengan demikian, dapat disaksikan juga bahawa sebahagian besar daratan bumi terdiri dari pelantar-pelantar benua. Bahkan adalah dipercayai menurut penemuan terbaru dalam tahun 2002 lalu oleh ESA dan NASA bahawa lautan di muka bumi ini adalah dihasilkan dari awan-awan hidrogen oksida (H2O) yang dihasilkan dari bintang-bintang apabila awan-awan tersebut berlanggar dengan bumi.

Maka terbuktilah sudah bahawa dalil Al Quran dari firman Allah Surah Hud dan Al Qamar tadi yang menceritakan pertembungan "air hujan" di langit dengan bumi adalah benar!!

Kesimpulannya idea Alfred Wegener yang walaupun dikatakan tidak begitu diterima dengan meluas akan tetapi penemuan-penemuan baru zaman ini mengesahkan bahawa prinsip yang diketengahkan olehnya adalah benar.

Sekaligus kita akan memahami bahawa gempa bumi memang pada dasarnya akibat salah satu pergerakan pelantar benua ataupun pertembungan plate bumi pada sepanjang anjakan benua dan ini sentiasa berlaku setiap waktu walau serelatif mana kecil dan besar pada skala Richter-nya.

Apa pun segala tulisan saudara Dade Arinto masih ada yang boleh diterima dan saya mengakui terdapat beberapa huraian yang baik. Alangkah moleknya jika pemikiran saudara Dade dapat diulas dengan mudah kerana tidak semua orang akan membaca dan memahaminya.

SKALA MASA GEOLOGI

MINERAL BATUAN

Batu yang membentuk bumi, bulan dan planet-planet dibentuk dari mineral-mineral. Setiap orang telah biasa dengan mineral-mineral tertentu yang wujud di bukit-bukit, pasir di pantai atau tanah di kebun. Mineral merupakan bahan bukan organik pepejal yang wujud secara semulajadi mengandungi susunan atom-atom dengan pengaturan tertentu. Pengaturan atom secara tersusun merupakan kriteria penghabluran dan juga menggambarkan kandungan mineral serta formula kimianya. Mineral memainkan peranan utama dalam kehidupan dan taraf hidup manusia. Ia menjadi semakin penting dan pada masa ini kita bergantung terhadap mineral dalam pelbagai perkara, dari pembinaan bangunan pencakar langit hingga kepada pembuatan alatan elektronik teknologi tinggi. Sesungguhnya tanpa mineral masyarakat moden tidak akan wujud kerana ianya sebagai penyumbang kerangka asas pengeluaran industri.

Apabila mineral bebas berkembang atau tumbuh tanpa sebarang gangguan, mereka akan membentuk muka-muka hablur yang memiliki sifat tersendiri (Foto 1, 2 dan 4). Ia mempamerkan perbezaan tertentu di antara satu mineral dengan lain. Hablur dibatasi oleh bentuk semulajadi satah yang menggambarkan penyusunan atom (Foto 3, 8 dan 9). Hablur boleh dikumpulkan ke dalam tujuh system hablur, iaitu kiub, tetragonal, ortorombik, monoklinik, triklinik, heksagonal dan trigonal. Ia boleh mempamerkan perbezaan rupabentuk yang nyata bergantung kepada bentuk hablur atau paduan atau kombinasi dari bentuk.
Kebanyakan mineral wujud sebagai agregat hablur yang jarang mempamerkan bentuk hablur yang sempurna. Walau bagaimanapun, bentuk agregat amat berguna dalam proses mengenalinya. Kadang-kadang hablur tumbuh secara berpusat dari tengah berbentuk bulat atau nodul (Foto 5, 7 dan 10). Ia membentuk gugusan sebagaimana kelompok buah anggur yang dikenali sebagai botroidal (Foto 6). Sifat-sifat fizikal amat berguna dalam pengenalan mineral termasuk ketumpatan, kekerasan, ira dan gaya pecahan.

Mineral sering diklasifikasi berasaskan kepada kandungan kimia dikategori ke dalam oksida, sulfida, silikat, karbonat, posfat dan sebagainya. Huraian dan pengenalan mineral yang lebih terperinci memerlukan teknik-teknik tertentu seperti analisa kimia dan pengukuran sifat fizikalnya. Mineral boleh diberikan nama berdasarkan kepada aspek sifat fizikal atau kimia, tempat dijumpai, orang kenamaan, ahli mineralogi atau pelbagai subjek lain. Sebahagian contoh nama mineral dan keterangannya seperti berikut :-

Albit (NaAlSi3O8) dari bahasa Latin, albus (putih), berasas kepada sifat fizikal (warna).
Sarabauit (CaSb10O10S6) mengikut nama tempat, Bau, Sarawak, sebagai bahan sampingan bijih antimoni.
Malayait (CaSnSiO5) berasaskan penumuan pertama di Malaysia.



Foto 1 : Bijih timah kasiterit (SnO2), berwarna kelabu gelap dengan tabiat hablur pyramid dari Lembah Kinta, Perak



Foto 2 : Hablur kuarza (SiO2) mempamerkan permukaan bersegi-enam dari Chenderiang, Perak.

Foto 3 : Bijih timah masif (kasiterit, SnO2) di dalam skarn dari Sg. Besi, Selangor.


Foto 4 : Bijih antimony (stibnite, Sb2O3 menunjukkan gaya hablur prismatik dari Bau, Sarawak.

Foto 5 : Bijih aluminium (bauksit, Al2O3.2H2O) berwarna kelabu kekuningan dari Teluk Ramunia, Johor.












Foto 6 : Hematit, Fe2O3 berbentuk botroidal @ bergugus sebagai bijih besi terpenting dari Chini, Pahang.




Foto 7 : Bentuk berjejarum diaspor AlO(OH) dari Lembah Kinta, Perak.

Foto 8 : Butiran emas (Au) bertaburan di dalam kuarza dari Raub, Pahang.


Foto 9 : Fluorit CaF2 berwarna hijau muda dari Keramat Pulai, Perak.



Foto 10 : Kumpulan hablur berjejari turmalin dari Chenderiang, Perak.

Batuan

Bumi, bulan dan planet-planet terbentuk dari bahan yang dikenali sebagai batuan. Batuan adalah paduan antara pelbagai mineral dan boleh dikategorikan kepada batuan igneus, metamorf dan sedimen. Batuan igneus terbentuk dari pengerasan bahan batuan cair.; batuan metamorf pula wujud dari ubahan batuan igneus dan sedimen yang ditindak oleh suhu dan tekanan dan batuan sedimen terhasil dari pengumpulan sisa-sisa batuan dipermukaan bumi.

Batuan igneus : Kebanyakan batuan igneus terhasil di dalam bahagian atas sarung bumi. Bahan tersebut dinamakan magma yang bergerak naik ke dalam kerak bumi dan membentuk jasad batuan dikenali sebagai rejahan igneus. Jika magma sampai ke permukaan bumi dan mengalir, ia dikenali sebagai lava dikategorikan sebagai batuan gunung berapi (volkanik). Secara umumnya, batuan volkanik berwarna hitam dan tumpat dikenali sebagai basalt. Walau bagaimanapun, batuan granit mendominasikan batuan intrusif. Kaedah pengenalan dan menamakan batuan igneus merangkumi pengamatan saiz butiran dan penganggaran amaun relatif kandungan mineral. Maklumat tambahan lain boleh didapati dari indeks warna, tekstur, struktur dan kadang-kadang hubungan di lapangan (Foto 11 – 14).

Batuan metamorf : Batuan terhasil akibat perubahan mineralogi, kimia dan struktur dalam sifat pepejal daripada batuan terdahulu di dalam bumi. Batuan metamorf mempamerkan pelbagai tekstur, struktur dan mineralogi disebabkan oleh julat suhu dan tekanan. Darjah metamorfisme yang berlaku ke atas batuan dirujuk kepada gred rendah, sederhana dan tinggi (Foto 15 – 19).

Batuan sedimen : Batuan sedimen terbentuk dari proses hakisan dan pengenapan yang aktif di permukaan bumi. Permukaan bumi sering dan masih diserang oleh agen-agen luliuhawa dan hakisan seperti hujan dan sungai. Agen-agen fizikal telah membantu pereputan kimia melalui penyerapan air yang mampu memecahkan batuan keras dan menghasilkan saki baki batuan. Sedimen tersebut akan diangkut oleh sungai dan mengenapkannya di muara sungai, di tasik atau di lautan. Bahan-bahan tersebut berkumpul sehingga mencapai beberapa kilometer tebal untuk membentuk batuan sedimen. Ciri utama yang diperlukan dalam mengkaji batuan sedimen di lapangan adalah tekstur, struktur, mineralogi, warna dan hubungan lapangan. Perlapisan merupakan elemen yang universal di dalam batuan sedimen di mana lapisan yang wujud menggambarkan variasi tekstur dan mineralogi (Foto 19 –22).





RAMALAN GEO SEM3