Ahad, April 12, 2009

NOTA GEOFIZIK 4:PENYAHUTANAN

Penyahutanan dan Kepelbagaian Biologi (Biodiversiti).

Penyahutanan bermakna penghapusan hutan secara besar-besaran. Kawasan hutan di tebang dan dimusnahkan dengan pelbagai cara dan pelbagai tujuan. Misalnya penebangan untuk pembalakan, pembukaan kawasan ladang, pembinaan kawasan petempatan,industri disamping penenggelaman untuk projek hidro elektrik. Walau apapun kaedahnya, fenomena penyahutanan tanpa kawalan membolehkan hutan dimusnahkan , permukaan bumi tergondol dan terdedah secara meluas meliputi skala negara,wilayah dan benua tidak kira samada di negara maju mahupun negara sedang membangun.
Hutan sememangnya kaya dengan kepelbagaian spesis. Misalnya Hutan Hujan Amazon yang luasnya 0.5 billion hektar mempunyai berjuta spesis haiwan dan tumbuhan. Bagi satu hektar hutan Amazon terdapat 750 jenis spesis haiwan, dan 1,500 jenis spesis tumbuhan. Kesan yang paling penting akibat aktiviti penyahutanan ialah terhadap kepelbagaian biologi. Spesis fauna dan flora diancam kepupusan sehingga kita tidak sempat menjalankan pemuliharaan. Dijangkakan menjelang tahun 2000 lebih daripada 1 juta spesis haiwan dan serangga akan lenyap dari mukabumi ini dan tidak dapat dijangkakan berapa banyak lagi spesis yang akan lenyap apabila kita melangkah masuk ke alaf 21 nanti. Pemusnahan habitat ini berlaku atas nama pembangunan. Selain daripada spesis dan genetik fauna (haiwan) serta flora (tumbuhan) musnah akibat penyahutanan, elemen-elemen biodiversiti yang lain juga turut musnah. Pertamanya ialah habitat (tempat tinggal). Hutan menjadi habitat utama untuk haiwan membentuk lingkungan dan meneruskan generasinya. Apabila habitat musnah haiwan juga turut musnah atau berlakunya penghijrahan spesis untuk mencari habitat yang baru yang terpaksa pula menghadapi persaingan. Kedua, kemusnahan ekosistem terutamanya rantaian makanan. Apabila tumbuhan dieksploitasi, ia gagal menjalankan fungsinya sebagai pengeluar makanan kepada masyarakat pengguna hutan. Justeru pengguna primer (herbivor), sekunder (karnivor) dan tertiar (Omnivor) turut kehilangan sumber-sumber makanannya.

Selain daripada kemusnahan kepelbagaian biologi, penyahutanan juga dikenalpasti boleh mengubah cuaca dunia. Hal ini dipersetujui bersama oleh 142 buah negara yang menghadiri Sidang Puncak Bumi di Rio De Janerio, Brazil pada tahun 1992. Dalam konvensyen Perubahan Cuaca Dunia, kata sepakat telah dicapai berhubung dengan peranan hutan dalam mengimbangi lebihan karbon dioksida di atmosfera. Hutan sememangnya berupaya menyerap dan menyimpan karbon dioksida serta dalam masa yang sama membebaskan oksigen. Misalnya Hutan Amazon menghasilkan kira-kira 20% daripada bekalan oksigen dunia . Oleh itu fungsi menyimpan karbon dan membebaskan oksigen ini sekaligus dapat mengurangkan kesan rumah hijau. Hutanlah sebenarnya bertindak sebagai stok/penyimpan karbon dioksida terbesar di dunia. Apabila hutan dihapuskan perlepasan karbon dioksida akan terus berlaku yang boleh menyumbangkan kepada pemanasan global. Justeru itu sidang puncak bumi meminta semua negara khususnya negara-negara sedang membangun mengawal kadar penebangan hutan dan aktiviti penyahutanannya disamping menjalankan usaha-usaha pemuliharaan yang saintifik dan segera dengan bantuan kepakaran,teknologi serta modal dari negara-negara maju.

RAMALAN GEO U2 2023 SIRI 4