Ahad, April 12, 2009

NOTA 2 GEOFIZIK :PEMANASAN GLOBAL

: Pemanasan Global (Global Warming).

Istilah Pemanasan Global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang menggangu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba “ Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya”. Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala samada mikro atau makro. Menurut Professor James.G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar USA “ Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius”.
Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon”. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian,penyahutanan untuk pelbagai tujuan,pembebasan Cloroflorokarbon (CFC),punca kenderaan,pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas Karbon Dioksida. Mengikut Anthony Milne dalam bukunya “Our Drowing World”, Population,Pollutions and Future Weather, bab 5 – The Green House Effect; “ Bahan-bahan pencemar terutamanya karbon dioksida dan metana membentuk satu kubah/lapisan yang menyelimuti ruang atmosfera. Lapisan ini bertindak membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi memerangkap bahangan bumi daripada keluar”. Justeru itu tenaga matahari akan berkitar di dalam ruang atmosfera bumi yang sama dan bumi dipaksa menerima lebihan tenaga haba. “Dianggarkan sejak revolusi industri di Eropah sebanyak 400,000 billion tan karbon dioksida dibebaskan ke atmosfera dan pada masa kini sahaja hampir 5.5 billion tan molekul karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera pada setiap tahun” (Anthony Milne, Ibid ; m.s. 64 –65).

Penipisan lapisan ozon pula berlaku di ruang statosfera. Ozon sebenarnya terdiri daripada tiga molekul oksigen yang terikat di antara satu sama lain secara ikatan kovalen. Lapisan ozon mempunyai fungsi yang penting untuk menapis,menyerap,menyerak dan memantul sinar lembayung matahari daripada terus terpancar ke bumi. Ozon akan menipis apabila CFC dan gas HALON yang dibebaskan oleh manusia melalui aktiviti industri menyerang dan memutuskan ikatan kovalen tiga atom oksigen tersebut. Lebih dasyat daripada itu lapisan ozon juga bocor dan berlubang akibat ujian peluru berpandu manusia. Terbentuknya banyak lubang-lubang ozon di benua Antartika menjadi bukti kegilaan manusia. Apabila ozon menipis dan berlubang maka sinar UV yang membawa bahangan dan tenaga matahari terpaksa diterima dengan banyak oleh bumi. Kesannya suhu dunia akan meningkat.



Kesan daripada pemanasan global ini cukup banyak misalnya ia boleh mencairkan litupan ais di kutub atau kawasan pergunungan tinggi, membanjiri laut seterusnya meningkatkan kadarr hakisan ombak yang akan menyempitkan lagi saiz pantai sesebuah negara. Selain itu resiko penenggelamkan kawasan daratan yang rendah juga boleh berlaku akibat kenaikan aras laut. Di kawasan sub gurun pula boleh menggalakkan proses pengurunan. Kawasan gurun semakin lama semakin membesar menghala ke pinggirnya . Di samping itu suhu dunia yang panas juga boleh memangkinkan kejadian El-Nino apabila suhu laut dan arus lautan turut menjadi panas lalu mengubah sistem cuaca dunia, memanjangkan tempoh musim kemarau/panas, kejadian jerebu,kekurangan air dan lain-lain lagi yang memudaratkan manusia.

RAMALAN GEO U2 2023 SIRI 4