Isnin, April 18, 2011

MEMAHAMI KONSEP BUMBUNG HIJAU



KESTABILAN MIKROIKLIM MENERUSI APLIKASI BUMBUNG HIJAU :

Kawasan bandar biasanya didominasikan oleh kawasan yang berturap seperti lapisan asphalt serta tar. Kawasan tepubina seperti bangunan mempunyai lapisan konkrit yang mempunyai kapasiti menyerap haba dan menghasilkan tompok panas yang membawa ketidakselesaan terma kepada penghuni serta penambahan tenaga untuk penyejukan dalam bangunan. Dengan itu lahirlah konsep bumbung hijau atau ecoroof,

PENDAHULUAN Isu signifikan yang sering diperdebatkan berkaitan ekosistem bandar adalah mengenai aspek permukaan tepu bina bandar. Penelitian terhadap aspek tepu bina ini telah banyak diperkatakan sama ada daripada disiplin sains, kejuruteraan awam atau bangunan mahupun kemanusiaan . Namun isu kesan tepu bina terhadap iklim mikro bandar dan keadaan hidrologi bandar agak terkehadapan, sehinggakan ujud Kajian yang mengukur hubungan tepu bina dengan kehadiran fenomena pulau haba.

BUMBUNG HIJAU : DARI PERSPEKTIF MIKROIKLIM BANDAR

Bumbung hijau atau bumbung bervegetasi hijau dirujuk sebagai eko-bumbung adalah alternatif kepada bumbung konkrit atau tepu bina yang menghalang proses infiltrasi dan juga sejatpeluhan (Velazquez 2002). Penggunaan bumbung hijau dianggap bukan sahaja bermanfaat untuk aspek persekitaran malahan ia berkemampuan untuk menambahkan lagi ruang kegunaan kediaman.
Ia juga mampu mengurangkan atau menjimatkan kos penggunaan penyaman udara tahunan. kawasan yang telah menjadi kawasan tepu bina dan terbatas untuk mengwujudkan kawasan bertanaman atau kawasan hijau, kaedah bumbung hijau adalah teknik yang amat sesuai diaplikasikan. Pembinaan kawasan hijau di bumbung rumah mampu mengawal permukaan atap daripada terkena bahangan solar.
Apabila keadaan ini berlaku maka pembebasan bahangan solar bergelombang panjang di waktu malam dapat dikurangkan, justeru mampu mengurangkan kesan pulau haba bandar . Pada kebiasaannya, bumbung hijau mengandungi satu ketebalan lapisan tanih serta litupan vegetasi tahap rendah di atas material bumbung.

Secara tipikal, struktur kompleks bumbung hijau mempunyai membran tapisan, lapisan saliran, vegetasi terpilih, panel sokongan dan insulasi termal ,bumbung hijau mampu meningkatkan jangka hayat sistem bumbung serta mempertingkatkan kawalan larian air permukaan. Di samping itu, bumbung hijau juga boleh meningkatkan dengan signifikan persekitaran terma di sekitar bumbung dan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bangunan tetapi juga bagi kawasan sekitarnya.

Kajian yang telah dijalankan di Singapura (Hien 2006), sebagai contoh mendapati sistem bumbung hijau boleh mengurangkan suhu ambien di persekitaran bumbung sehingga 3oC. Selain itu, menambahkan litupan vegetasi boleh menyebabkan imbangan air menjadi lebih bersifat semulajadi. Sistem bumbung hijau didapati berjaya mengurangkan perubahan harian suhu sekitaran.Pengurangan kesan perubahan ini boleh meningkatkan jangka hayat penggunaan bumbung serta mengurangkan kos pemuliharaan.

Selain itu, sistem bumbung hijau ini juga berkeupayaan meningkatkan sekitaran terma bumbung bangunan dan seterusnya memberikan persekitaran yang kondusif kepada manusia. Keadaan suhu melampau dibumbung konkrit pula sama ada yang diukur dengan alat Thermometer mahupun Infrared.Thermometer jelas menunjukkan impak negatif yang besar dan ini berkemungkinan akan meningkatkan penggunaan tenaga untuk penyejukan dalam bangunan serta ketidakselesaan manusia akibat peningkatan suhu.

Peningkatan suhu pada awal petang dibumbung hijau boleh dikaitkan dengan perendahan proses sejatpeluhan di samping pelepasan haba pendam oleh permukaan tersebut. Secara umumnya, tiada perbezaan ketara dalam suhu permukaan antara masa hujandengan tiada hujan. Walau bagaimanapun, wujud kelebihan daripada aspek kawalan air larian di bumbung hijau dengan memperlahankan serta mengurangkan komposisi hujan yang ditukar bentuknya kepada air larian permukaan.

Bumbung hijau dilihat berpotensi untuk dijadikan alternatif kepada bumbung bangunan hari ini memandangkan ianya bukan sahaja menambahkan ruang kepelbagaian penggunaan, malahan menambahkan seri lanskap bangunan di samping faedah ekonomi dan alam sekitar. Diharapkan juga kajian masa akan datang melibatkan juga fungsi bumbung hijau dalam menyediakan tapak penuaian air hujan sebagai sumber alternatif bekalan air di kawasan bandar.

Peningkatan penggunaan sistem bumbung hijau secara eksklusif di dalam bandar mampu mengurangkan suhu ambien dan dengan itu secara relatifnya boleh mengurangkan pembentukan pulau haba bandar. Sekiranya, kaedah ini diterap dengan meluas, keadaan ketidakselesaan warga kota dapat diminimakan, masalah pencemaran udara juga boleh dikurangkan dan menambahkan kadar pembebasan oksigen serta mengurangkan kadar karbon dioksida di persekitaran bandar.

RAMALAN GEO SEM3