Rabu, Oktober 17, 2018

TNTI:MEMAHAMI EDARAN AIR TANIH


4.3 EDARAN AIR TANIH
Konsep edaran air tanih
Edaran air merujuk kepada semua bentuk pergerakan air yang menggunakkan tanah sebagai mediumnya seperti aliran sub-permukaan, susupan (infiltrasi) dan pergerakan secara mendatar dalam sistem akuifer/ edaran air bawah tanah. Semua pergerakan ini dalam bentuk cecair.
Proses-Proses Dalam Edaran Air Tanih
i. Larian air permukaan
Air hujan yang turun sebahagiannya akan meresap ke dalam tanah dan selepas daya resapan dipenuhi, air hujan yang lain akan mengalir di atas permukaan bumi atau cerun. Ia boleh terbentuk apabila kelebatan hujan melebihi kadar resapan tanah.
ii. Resapan/infiltrasi/susupan
Pergerakan air hujan yang berlaku secara menegak iaitu menerusi liang-liang pori tanah atau menerusi ruang-ruang udara yang ada dalam tanah. Tanah pasir mempunyai kadar ketelusan yang tinggi kerana liang pori batuannya besar dan banyak. Proses ini membekalkan air tanih.


iii. Aliran air bawah tanah
Air mengalir secara perlahan melalui liang dalam batuan di bawah permukaan. Ia mengalir kerana terdapat perbezaan tekanan dan kecerunan.Air dari bahagian atas zon tepu mengalir menuruni cerun aras mata air dan akan sampai ke lurah dan meresap keluar ke sungai, tasik atau paya.
iv. Simpanan air tanih
Simpanan air tanih adalah air yang terkumpul di zon tepu dan zon tidak tepu. Air tanih di zon tepu ialah air yang wujud di dalam semua rongga pori tanih yang terletak di bawah lapisan tanih yang mana menyumbang kepada air perigi dan mata air. Manakala air yang tersimpan di zon pengudaraan iaitu zon tidak tepu terletak berhampiran di permukaan bumi. Air tanih ini tersimpan dalam tanih dan dipengaruhi oleh tegangan, dan air tanih ini menentukan nilai kelembapan tanih.
v. Keporosan dan ketelapan
Sifat sesuatu batuan yang mempunyai liang atau ruang antara batuan yang boleh ditakungi oleh air bawah tanah. Keporosan ialah ruang rongga antara tanih. Keporosan sesuatu tanah di pengaruhi oleh struktur susunan partikel tanah, komposisi saiz partikel tanah, kandungan air di dalam tanah, ciri-ciri batuan dan litupan tumbuh-tumbuhan. Ketelapan ialah kebolehan air melalui keporosan atau liang pori tanih. Sifat keporosan dan ketelapan merupakan ciri penting dalam menentukan kemampuan batu batan menakung dan memindahkan air.
vi. Akuifer
Akuifer ialah tempat batuan untuk menakung air. Air akan meresap perlahan-lahan ke bawah tanah melalui liang-liang batuan dan resapan akan terhenti apabila telah sampai ke batuan tidak telap air. Akuifer juga merupakan tempat simpanan air bawah tanah dan juga nadi untuk pergerakan air bawah tanah. Ia juga sebagai pengawal aliran semulajadi iaitu meresap air semasa hujan lebat untuk mengurangkan kadar aliran air tanah yang terlalu cepat dan membekalkan air kepada alur sungai pada masa kekurangan air hujan atau musim kering.
KEPENTINGAN SUMBER AIR KE ATAS AKTIVITI MANUSIA
i. Kegunaan domestik
Air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan harian seperti minuman,mencuci dan keperluan-keperlun lain.Sumber air yang utama adalah dari sungai-sungai,conthnya Sungai Muda di Kedah,Sungai Pahang di Pahang dan lain-lain.
ii. Pertanian
Sektor pertanian merupakan sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air.Empangan di bina untuk membekalkan air dan mengawal input output air kepada kawasan tanaman khususnya padi sawah. Ia dilaksanakan melalui projek-projek perairan untuk pertanian khususnya untuk tanaman padi sawah. Contohnya pengairan telah membantu meluaskan penanaman padi di Malaysia seperti rancangan pengairan Muda di Kedah, Kemubu di Kelantan.
iii. Perindustrian
Sumber air penting dalam industri makanan, pakaian, besi dan keluli. Air digunakan dalam pelbagai cara terutamanya sebagai pencuci dan membersih produk-produk atau hasil perindustrian. Sektor perkilangan juga memerlukan bekalan air bersih yang berterusan contohnya dalam industri pemprosesan kertas dan petrokimia.
iv. Sistem Pengangkutan Air
Sungai, selat, terusan digunakan untuk mengangkut barangan dan penduduk khususnya di kawasan pedalaman. Sungai sebagai sistem pengangkutan air yang murah dan mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi. Juga sebagai pengangkutan utama di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi jalan darat. Contonya sungai Rajang di Sarawak dan sungai Kinabatangan di sabah.
v. Rekreasi, Eko Pelancongan Dan Sukan Air
Sumber air dapat menambahkan keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong seperti tasik dan air terjun. Contohnya, air terjun kota Tinggi di Johor. Pembinaan chalet-chalet terapung, resort dan rumah rehat, pusat sukan air seperti aktiviti berkayak, berkelah dapat dijalankan di kawasan jeram dan air terjun.





RAMALAN GEO U2 2023 SIRI 4